SALAM MAULIDUR RASUL

WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH   (Tema peringkat kebangsaan)

Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah atau tahun 2013 Masihi yang jatuh pada 12 Rabiulawal 1434 bersamaan 24 Januari 2013 (hari Khamis) .

Bismillahirahmanirrahim .Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia   .Saudara dan saudari sekalian,

1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya maka dapatlah kita menyambut  Maal Hijrah 1434H bersamaan 2012M pada tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat. Ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada kali ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

2. Syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat dari kesatuan dan kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit. Kita telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah. Ia telah digarapkan dalam segenap perkara di dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

3. Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan.Kita juga telah mengamalkan konsep kesederhanaan ini dan telah mengenengahkannya dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara. Baru-baru ini Kerajaan Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Moro dan Kerajaan Filipina. Kita juga telah mengambil pendekatan serupa dalam isu keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka.

4. Berpegang dengan definisi hijrah yang memberi maksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik, kita telah mengislah dan menterjemahkan pendekatan hijrah dalam  program transformasi negara. Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif. Baru-baru ini ulama terkemuka dunia iaitu Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Ghaza.

5. Berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Ianya adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat. Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.”

Mengakhiri perutusan, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434 kepada semua seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada dan raikanlah sambutan ini bersama rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa demi menjayakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.

Ikhlas dari Datuk Seri Najib Tun Razak

 

 

CATATAN RINGKAS  :

Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidakpernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda.

Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.

Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.

Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah. Tidak dinafikan, sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar.

Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya.

Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW. Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam.

Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu.

Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Oleh sebab itu, acara yang boleh dihidangkan pada hari itu boleh dipelbagaikan asalkan menjurus ke arah menyedarkan umat Islam kea rah mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah. Dengan acara tersebut tidak timbul isu bidaah seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak pula melarangnya.

Pada hari ini kita tambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah dilakukan para sahabat ketika menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari Makkah. Ternyata perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda.

Sempena sambutan itu juga, ditambahkan acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi Rasulullah.

Sambutan ini perlu dibezakan dengan sambutan Barat terhadap sambutan hari lahir diri sendiri, sambutan acara potong kek, menyanyi dan menari dan sebagainya dan juga tidak sama dengan sambutan hari lahir bagi orang yang hidup dengan mati.

Sambutan hari lahir orang yang masih hidup sepatutnya untuk mahabbah diri, amalan yang telah dilakukan dan menginsafi diri beberapa hari lagi yang berbaki untuk hidup.

Manakala sambutan hari kelahiran untuk orang yang sudah meninggal dunia adalah untuk mengambil iktibar dan teladan yang baik sebagai motivasi hidup.

Jadi, amalan kita pada hari ini menyambut Maulidur Rasul diharap diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah. InsyaAllah. –

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: