CERPEN CATATAN OLEH AZYAN NADHIRAH BINTI NOORDIN

UZMA SYAMIMI

(AZYAN NADHIRAH BINTI NOORDIN)

            Kehidupan adalah anugerah yang paling istimewa pemberian  Allah. Anugerah kehidupan memberi gambaran kepada kita tentang betapa besarnya kekuasaan Allah yang Maha Esa. Justeru, hargailah kehidupan dan syukurilah nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Kuhabiskan bacaan surah yassin dengan perasaan sedikit lega. Ya. Aku amat rindukan dia. Aku lipat perlahan kain telekungku dan kusimpan di dalam beg telekung. Lantas, ku pergi ke almari dan membuka laci pentama. Sapu tangan merah jambu itu kuambil. Masih kemas lipatannya. Kucium sapu tangan itu. Air mataku menitis di permukaan sapu tangan itu.

Uzma Syamimi. Insan yang banyak mengajarku erti kehidupan. Insan yang mengajarku erti kasih sayang. Insan yang mengajarku erti pengorbanan. Uzma Syamimi. Uzma yang bermaksud yang terbaik dan Syamimi yang bermaksud harum. Apabila kulihat sapu tangan itu, lantas kuteringat akan peristiwa sadis dua tahun lalu.

Peristiwa itu berlaku dua tahun yang lepas , ketika aku berada di tingkatan tiga. Pada 15 September 2009, ibu saudaraku, Mak Cik Nor telah selamat melahirkan bayi perempuan yang merupakan anak sulungnya dengan suaminya, Pak Cik Mat  pada pukul 11.37 malam di Wad Bersalin, Hospital Umum Sarawak. Ketika itu, kami sekeluarga masih berada di rumah. Pada keesokan paginya, aku telah menerima satu mesej bergambar daripada Mak Cik Nor.

“Mak, tengok ini. Mak Cik Nor telah mengirimkan gambar anaknya kepada saya. Comel sungguh,” ucap saya dengan perasaan sungguh teruja.

“Ya, mak tahu. Tapi, ada sesuatu yang telah terjadi kepada anak mak cik kamu. Tidak mengapalah, cepatlah bersiap ke sekolah. Nanti kamu lewat pula,” jawab ibuku.

Aku akur dengan arahan ibuku. Tetapi kata-katanya sebentar tadi masih terngiang- ngiang di kepalaku. Apakah yang telah terjadi? Adakah adikku itu baik-baik saja? Banyak persoalan hinggap di kepalaku.Aku pun pergi ke sekolah seperti biasa tetapi perasaanku seolah-olah bercampur- bauh. Apakah maksud ibuku pagi tadi?

Kringgg!! Loceng telah berbunyi dan menandakan sesi persekolahan pada hari ini telah tamat. Aku pun turun dan pergi ke tangga sebelah bilik pengetua. Tangga itu menjadi lokasi tempatku termenung panjang menunggu ayahku menjemputku balik. Encik Din bin Johan . Penolong Kanan Kokurikulum di SK Beradek. Sekolah pedalaman yang terletak di dalam pulau kecil yang aku masih tidak tahu apakah nama pulau itu. Akan tetapi, setiap hari ayahku akan menaiki bot dari jeti Kampung Gobilt yang terletak berhampiran Kampung Bako. Jadi, ayahku akan menjemputku agak lewat berbanding temanku yang lain.

Jam menunjukkan 1.41 petang. Ayahku baru sahaja sampai di pintu pagar sekolahku. Aku pun terus memasukkan buku teks sejarah ke dalam beg sekolah dan pergi menghampiri kereta. Aku membuka pintu kereta Perodua Viva ayahku dan masuk ke dalam. Dalam perjalanan, kami berbual mengenai anak Mak Cik Nor.

“Ayah,sudahkah mak memberitahu ayah siapakah nama anak Mak Cik Nor?” tanya aku kepada ayah.

“ Sudah. Cantik namanya. Uzma Syamimi..”baru sahaja ayah ingin meneruskan kata- katanya, tiba- tiba dia menerima pesanan ringkas dari ibu.

Ibu menyuruh kami pergi ke rumah datukku di Kampung Telaga Air. Ayah pun memandu kereta menuju ke Kampung Telaga Air. Satu jam kemudian, aku dan ayahku selamat sampai di rumah datukku. Masuk sahaja pintu rumah, kedengaran suara kecil yang menangis. Suara itu mungkin suara Uzma. Aku pun terus mencari di manakah Uzma berada. Akhirnya, aku menemuinya. Uzma terbaring elok di atas pangkuan nenekku. Kudekati anak kecil itu. Sungguh comel. Kulit putihnya yang halus. Jari- jarinya yang comel membuatkan aku merasa geram melihat kecomelan bayi itu.

Uzma pun merengek meminta susu. Nenek menyuruh aku membancuh susu untuk Uzma. Nenek memberitahuku apakah sukatan bagi air susu Uzma. Aku pun menuju ke dapur untuk membancuh minuman Uzma.  Sebelum aku pergi ke dapur, dengan tidak sengaja aku terdengar perbualan antara ibu dan Mak Cik Nor. Aku juga mendengar ibu dan Mak Cik Nor menangis.

“Betul Kak Long. Doktor dah sahkan adik meghidap penyakit  jantung berlubang. Apabila saya dengar doktor cakap perkara itu, terus hati saya hancur. Baru sahaja saya impikan keluarga yang sempurna. Baru saya angankan panggilan mak. Rupa – rupanya ini takdir saya. Lebih teruk lagi, doktor kata adik hanya akan hidup dengan satu injap sahaja.” Kata Mak Cik Nor.

“Sabarlah Nor. Mungkin ini ujian Allah. Bukan untuk kau dan Mat sahaja. Ini ujian untuk kita sekeluarga. Apa yang penting, kau ada kami semua untuk sokong kau. Jangan bimbang, kita perlu hadapi perkara ini dengan tenang. Yang penting, kita perlu cari ikhtiar untuk sembuhkan adik. Itu yang lebih penting. InsyaAllah. Allah sentiasa ada bersama hamba-Nya. Sudahlah, lap air mata kau sekarang. Nanti mak tengok lagi susah,” pujuk ibu lalu memeluk adiknya itu.

Ya Allah, apakah ini satu dugaan hebat untuk kami sekeluarga? Aku terus pergi ke dapur untuk membuat minuman adik. Setelah selesai, nenek menyuruhku mendodoi Uzma untuk tidur. Aku memberi minumnya sambil mendodoinya tidur. Kuamati wajahnya. Air mataku menitis laju. Inilah yang dikatakan takdir Allah. Dengan usianya yang baru sehari melihat dunia tetapi talah disahkan menghidapi penyakit yang kronik iaitu penyakit jantung berlubang.

‘Ya Allah , Engkau peliharalah anak ini dengan sebaik- baiknya. Sekiranya ajalnya sudah tiba, biarlah Uzma pergi dengan tenang dan kami sempat melihatnya untuk kali terakhir.’bisik hatiku.

Mulai pada hari itu, aku berjanji pada diriku sendiri bahawa selagi ada masa terluang aku sanggup untuk pergi ke kampung untuk menjaganya. Mungkin aku tidak dapat menjaganya suatu hari kelak. Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini agak hambar kerana Uzma telah dimasukkan ke hospital kerana dia mengalami masalah penafasan dan hanya bergantung kepada alat pernafasan di hospital untuk meneruskan hidup. Aku masih ingat lagi pada Hari Raya kedua. Sepatutnya kami sekeluarga akan bergambar tetapi Mak Cik Nor mengatakan bahawa dia tidak mahu mengambil gambar terlebih dahulu. Dia ingin menunggu Uzma keluar dari hospital terlebih dahulu barulah lengkap gambar keluarganya.

Sebulan kemudian, kami sekeluarga diminta untuk berkumpul di rumah datuk kerana ada satu perjumpaan keluarga yang amat penting. Kami pun pergi ke kampung pada malamnya. Setibanya di rumah datuk, kami diminta untuk berkumpul  di ruang tamu rumah. Apabila semua ahli keluarga kami sampai, datuk terus memulakan perjumpaan kami.

“ Tujuan ayah panggil kamu ke sini untuk memberitahu bahawa Nor baru menerima keputusan kesihatan  adik daripada Doktor Rozalia pagi tadi. Keputusan itu menunjukkan bahawa hayat adik tidak lama. Paling lama jangka hayat adik mungkin hanya satu tahun sahaja. Jadi, ayah panggil kamu anak – beranak untuk cari ikhtiar bagi menyembuhkan penyakit adik,” kata datuk.

Suasana di dalam ruang tamu menjadi semakin hiba apabila kami semua terkejut mendengar tangisan Uzma. Tangisan Uzma menggambarkan penderitaan yang dialaminya di usia yang terlalu muda untuk mengharungi dugaan yang amat besar dan seolah – olah tahu bahawa kami bercakap mengenainya. Selepas hari itu, pelbagai ikhtiar telah kami cuba untuk menyembuhkan penyakitnya. Mak Cik Nor dan Pak Cik Mat telah membawa Uzma berubat di banyak klinik swasta dan rumah perbuatan tradisional.

Genap Uzma berumur dua bulan, Mak Cik Nor dan Pak Cik Mat bercadang untuk mengambil inisiatif terakhir untuk membawa Uzma menjalani rawatan di Pusat Rawatan Gleneagle di Kuala Lumpur. Kami menghantar Uzma, Pak Cik Mat, Mak Cik Nor, datuk, nenek dan Pak Usu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan perasaan hiba. Lebih sedih lagi, kami akan menyambut kehadiran Hari Raya Aidiladha  tanpa datuk dan nenek disisi. Buat pertama kalinya kami tidak menyambut perayaan tersebut di kampung. Apabila mendengar takbir raya di masjid, air mataku menitis mengenangkan datuk dan nenek.

Selepas satu minggu lima hari mereka berada di Kuala Lumpur, Mak Cik Nor memberitahu ibuku bahawa keadaan kesihatan Uzma semakin kritikal tetapi dia tidak boleh menjalani pembedahan kerana saiz badannya yang kecil akan menyulitkan untuk melakukan pembedahan terhadapnya dan mempunyai risiko yang amat tinggi. Jadi, ibu telah mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala Lumpur bersama adik-adiknya untuk memberi semangat kepada Mak Cik Nor dan Pak Cik Mat.

Ibu pun pergi ke Kuala Lumpur bersama dengan Mak Cik Julia , Pak Cik Malim Pak Cik Sam pun berangkat pada keesokan harinya. Mereka menginap sementara di rumah saudara kami di sana. Keluargaku dan keluarga sepupuku tinggal bersama- sama kerana kedua-dua ibu kami pergi ke Kuala Lumpur. Bapa kami yang menjaga makan pakai kami selama ketiadaan ibu kami di rumah.

Setiap hari ibu akan menelefon kami untuk bertanyakan khabar kami sekeluarga. Setiap hari aku dan adikku akan menangis kerana merindukan ibuku.Lebih sadis lagi, itu merupakan kali pertama kami adik-beradik berjauhan dengan ibu. Aku masih ingat lagi perbualan antara aku dan ibu di telefon selepas seminggu mereka berada di sana.

“Yana, tadi mak melawat adik di wadnya. Mak sedih melihat adik menahan sakitnya. Semasa mak sedang membacakan surah yassin untuk adik sambil mak menggenggam tangannya, tiba-tiba adik terbangun melihat dan mendengar mak membaca surah tersebut lalu menggenggam erat tangan mak seperti hendak memberitahu mak bahawa dia kuat untuk menjalani dugaan tersebut dan dia tersenyum. Kamu jangan lupa selalu sedekahkan surah yassin untuk memberi kekuatan untuk roh adik dan buatlah solat hajat untuk mendoakan kesihatan adik,” pesan ibu kapadaku.

Sejak dari hari itu, kami menunaikan solat hajat secara berjemaah selepas mengerjakan solat maghrib dan isyak. Selepas itu, kami akan membaca surah yassin. Secara tidak langsung, kami dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami dan menjadikan kami lebih tabah untuk menerima apa-apa kemungkinan yang boleh terjadi.

Setelah hampir sebulan Uzma berada di Kuala Lumpur, ibu menelefon aku dan mengatakan  bahawa kami perlu berangkat serta –merta pada esok hari kerana Uzma akan menjalani pembedahan selewat- lewatnya pada malamnya. Ayah pula memberitahu penerbangan kami ialah pada pukul 2.00 petang. Pada keesokan harinya, ibu menelefonku.

“Yana, mak ada sesuatu untuk diberitahu kepada kamu. Kamu tak akan bertolak ke Kuala Lumpur pada hari ini kerana adik sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada awal azan zuhur berkumandang. Sekarang kamu perlu pergi ke kampung untuk mengemas rumah kerana mungkin jenazah adik akan sampai pada lewat malam ini,” kata ibu.

“Kenapa mak?Isk,,Isk,,apa punca adik meninggal dunia mak?” tanya aku sambil menangis teresak- esak.

“ Adik bukan meninggal kerana penyakitnya tetapi arwah meninggal disebabkan oleh jangkitan kuman dalam darahnya sehingga keseluruhan organ badannya langsung tidak dapat berfungsi,” jawab ibu.

Kami sekeluarga pun pergi ke rumah datuk untuk mengemas rumah dan menunggu  jenazah Uzma sampai. Tepat pukul 1.00 pagi ,sebuah van jenazah dan dua buah kereta sampai di perkarangan rumah datuk. Kami pun membuka pintu rumah dan sebaik sahaja pintu rumah terbuka, Mak Cik Nor terus memelukku dan sepupuku, Ara sambil menangis.

“Yana, Ara, mak cik sudah tidak ada anak lagi..Isk,,Isk,,” sendu Mak Cik Nor.

Jenazah Uzma telah diletakkan di dalam sebuah keranda kecil yang dihiasi riben berwarna merah jambu di sekelilingnya. Jenazahnya dikeluarkan dari keranda tersebut dan diletakkan di ruang tamu  kedua untuk diziarahi oleh ahli keluarga dan sanak saudara. Aku dan semua sepupuku berkumpul di tepi jenazah untuk membaca surah yassin. Selepas itu, Pak Cik Mat seperti bercakap dengan jenazah Uzma.

“Adik, bila dekat atas nanti jangan nakal-nakal. Dengar cakap. Adik budak yang baik. Jangan lupa ayah dengan mak dekat sini. Doakan ayah dengan mak. Biarpun adik sudah tidak ada di depan mata kami, tapi adik sentiasa ada dalam hati kami,” kata Pak Cik Mat.

Pada keesokan harinya, jenazah adik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Telaga Air. Mak Cik Nor telah memberikan aku salah satu sapu tangan Uzma yang telah digunakan pada 10 Disember 2009 iaitu hari terakhir Uzma.Kini, walaupun telah dua tahun Uzma meninggalkan kami tetapi kesan dan kenangan yang arwah tinggalkan amat bermakna kepada kami. Kami tidak akan melupakan bidadari syurga kami sehingga ke akhir hayat.

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: