Archive for May, 2013

ARTIKEL :12 AMALAN MURID CEMERLANG

ANAK-ANAK DIDIK SEKALIAN , HARI INI TAJUK CIKGU IALAH  :12 AMALAN MURID CEMERLANG

1. Tentukan matlamat kerja dengan jelas dan `hiduplah’ dengannya

Anda perlu menetapkan apakah kebolehan atau matlamat yang anda harapkan daripada sesuatu usaha yang sedang atau akan anda lakukan. Sebagai contoh, anda hendak meningkatkan keupayaan anda menulis karangan sepanjang 350 patah perkataan dalam setengah jam. Jadi, jangan berpeluk tubuh dan berlengah-lengah. Latih diri anda secukupnya supaya matlamat anda itu tercapai sebelum peperiksaan.

2. Menyediakan jadual harian yang praktikal dan mudah diikuti

Jadual yang anda sediakan mesti praktikal dan secocok dengan gaya hidup anda. Kemudian berikrarlah di depan jadual anda, dan pada diri sendiri bahawa anda akan patuh kepada jadual yang anda buat sendiri.

Jadual yang baik sebenarnya adalah bersifat anjal. Anjal bermakna, anda boleh mengubahsuainya, tetapi masih patuh kepada disiplin hidup berjadual. Anda mesti berazam memperbaharui tekad anda untuk menjadi manusia yang berguna setiap hari, setiap kali bangun daripada tidur.

3. Bertekad dan sabar

Pastikan apabila kita membuat sesuatu kerja, selesaikan. Bukan sekerat jalan sahaja.

4. Pengurusan masa

Menguruskan masa merupakan tugasan yang sukar dan mencabar, tetapi boleh dilakukan. Gunakanlah masa yang ada untuk melakukan kerja yang berfaedah. Jangan bertangguh. Tetapkan keutamaan tugasan, serta waktu yang paling sesuai untuk membuat sesuatu tugasan.

5. Istiqamah dengan jadual harian

Peganglah janji anda selepas berikrar untuk mematuhi jadual harian yang anda rancang.

6. Tidak mudah kecewa

Jangan seret kekecewaan atau kegagalan silam sehingga menyukarkan perjalanan menuju kejayaan. Yang sudah biarkanlah ia berlalu.

7. Belajar daripada kejayaan dan kegagalan orang lain

Pepatah Melayu ada menyebut, yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan.

8. Berdoa

Selepas berusaha habis-habisan, kita bertawakal dan berserah kepada Allah s.w.t. Semoga usaha kita diberkati. Amalkan beberapa doa kejayaan.

9. Mementingkan kesenangan jangka panjang

Pelajar yang matang fikirannya akan memikirkan keuntungan jangka panjang. Abaikan dahulu keseronokan jangka pendek yang boleh menyebabkan kita menangis dan meratap kerana gagal dalam hidup.

10. Memikirkan pengorbanan keluarga

Ingatlah setiap sen yang dibekalkan oleh ibu atau bapa setiap pagi sebelum ke sekolah. setiap suap makanan yang kita jamah akan menjadi darah daging kita. Darah daging kita adalah hasil penat lelah ibu bapa kita. berilah mereka sedikit kegembiraan dengan lulus dalam peperiksaan.

11. Mencari rakan berdisiplin

Bijak mencari rakan adalah penting. Jangan sehingga kita diheret kekancah kegagalan oleh kawan-kawan yang tidak memikirkan masa depannya. Andak mungkin ketawa beramai-ramai, tetapi menangis seorang diri.

12. Sedikit tetapi berterusan

guru pusat sumber skmj

CATATAN LAWATAN KE MUKAH OLEH PUAN NORSHADATUL SEPANJANG CUTI SEKOLAH

SUMBANGAN GERAN UNTUK SK MATANG JAYA BAGI 2013

DISAMPAIKAN OLEH YB DATUK HJ DAUD  BIN HJ ABDUL RAHMAN KEPADA PUAN ROHANAH BT HJ MUHAMMAD, PENOLONG KANAN PENTADBIRAN SK MATANG JAYA BERTEMPAT DI DUN SARAWAK YANG BARU PADA 28 MEI 2013 JAM 11.30 PAGI.

ARTIKEL :ANAK-ANAKKU SAYANGI DIRI HIASI PERIBADI

SAYANGI DIRI HIASI PERIBADI

Sayangi Diri

1. Menjaga solat lima waktu
Solat itu tiang agama. Solat (prayer) dapat membersihkan diri daripada segala kesalahan dan dosa. Solat juga dapat memelihara diri daripada melakukan perkara yang dilarang Allah SWT.
2. Membaca Al-Quran dan berzikir
Orang yang membaca Al-Quran dan berzikir akan dikunjungi oleh para malaikat. Syaitan tidak akan masuk ke rumah yang sentiasa (always) dialunkan Al-Quran dan berzikir. Jadi, penghuni rumah akan dilindungi daripada gangguan syaitan.
3. Jaga pergaulan dan percakapan
Jagalah tatasusila dan saling hormat-menghormati sesama manusia. Islam juga menyuruh kita bertutur dengan sopan (polite). Hiasilah diri dengan sifat-sifat terpuji
sebagaimana yang disarankan dalam Islam.
4. Jaga solatDhuha
Jagalah solat Dhuha kerana kunci (key) rezeki terletak pada solat dhuha. “Barang siapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni  dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan.” (HR Tirmizi)
5. Menjaga wuduk Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwuduk sentiasa berasa selalu bersolat dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa.. “Ampuni (forgive) dosa dan sayangi dia ya Allah”
6 Amalkan istighfar setiap saat
Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang melazimkan (membiasakan) amalan istighfar, akan dikeluarkan  Allah SWT daripada sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah (restless) yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita.
7. Menjaga hati daripada sifat sombong
Elakkan menyimpan rasa busuk hati dengan orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya terdapat sebesar biji sawi dari sifat sombong (arrogant).”
8. Jaga aurat dan pemakaian
Tujuan menjaga aurat adalah untuk menjaga kehormatan dan memelihara (preserve) maruah diri. Orang yang sayang akan dirinya perlu menjaga pemakaian supaya dapat menghindari fitnah.
9. Suka bersedekah
Allah SWT menyukai orang yang suka bersedekah dan malaikat selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Bersedekah akan mendatangkan keberkatan (blessing). Apabila datang keberkatan maka hilanglah kecelakaan.
Guru Pusat Sumber 2013

ARTIKEL – SESIAPA PUN BOLEH JADI BIJAK.

Anak-anak didikku sekalian, biacara cikgu pada hari ini ialah, SESIAPA PUN BOLEH JADI BIJAK.

Kamu jangan risau (worry). Setiap orang mempunyai keupayaan yang sama. Kamu mampu (able) menjadi

seorang pelajar yang bijak dan cemerlang dalam pelajaran seperti mana rakan-rakan kamu yang lain. Yang penting, kamu perlu ikuti tip di bawah ini.
1. Buang sifat malas
Tahukah kamu, musuh utama untuk kamu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran adalah sifat malas (lazy). Jika sifat malas menguasai diri kamu, kamu  seolah-olah telah menempah kegagalan bukan sahaja dalam pelajaran malah dalam kehidupan kamu pada masa hadapan (future). Jadi, bermula hari ini, buang  sejauh-jauhnya sifat malas tetapi jadilah seorang yang ringan tulang dan rajin belajar.
2. Tingkatkan motivasi
Apa agaknya perkara yang membuatkan kamu rasa kurang bermotivasi? Cuba cari punca (source) mengapa kamu rasa kurang bersemangat untuk belajar. Cuba baca kisah-kisah daripada orang yang pernah gagal (fail) tetapi bangkit semula sehingga menjadi seorang yang berjaya. Kamu perlu ingat, tiada orang yang dilahirkan bodoh tetapi setiap orang dikurniakan akal yang sempurna untuk berfikir dan dikuatkan lagi dengan semangat yang patut kamu miliki untuk berjaya.
3. Elak tanggapan yang salah
Jangan terlalu banyak membuat tanggapan (assumption) jika kamu tidak tahu sesuatu perkara itu benar atau tidak. Jangan sesekali mempunyai tanggapan bahawa pelajaran belum tentu menjamin (ensure) masa depan kamu. Bukankah jika ada dalam kalangan rakan kamu berjaya dengan cemerlang, kamu akan menganggap rakan kamu itu bijak? Jadi, jika kamu mahu digelar sebagai seorang yang bijak, kamu perlu buktikan kejayaan kamu dalam pelajaran.
4. Jangan bertangguh
Jika kamu mempunyai sikap suka bertangguh, cepat-cepat hapuskan sikap (habit) tersebut. Untuk menjadi seorang yang bijak, kamu kena pantas (quickly) dari segi tingkah laku dan pemikiran. Jika kamu mempunyai kebijaksanaan tetapi tidak mengaplikasikan dalam kehidupan seharian, ia hanyalah sia-sia sahaja. Jika di sekolah, kamu hanyalah pelajar biasa sahaja tetapi jika kamu buang sifat bertangguh dan rajin mengulang kaji pelajaran, kamu mungkin akan meningkat kepada
pelajar cemerlang dan sekali gus menjadi seorang pelajar yang bijak di sekolah kamu.
5. Punyai perancangan pembelajaran
Orang yang bijak ialah orang yang mempunyai perancangan (plan) untuk belajar dengan berkesan. Contohnya, mempunyai jadual waktu yang tersusun dan efektif, mengamalkan cara hidup yang sihat melalui pemakanan dan senaman (exercise) dan mempunyai matlamat hidup yang jelas. Letakkan matlamat kamu untuk  mendapat
5A dalam UPSR sekarang! Rancang aktiviti pembelajaran kamu bermula hari ini agar kamu mampu meraih status pelajar bijak dan menjadi contoh kepada orang lain.
Guru PSS skmj

ARTIKEL 3: Milikilah Sifat Malu

Anak-anak didikku sekalian, kali ini kita akan berbicara berkaitan dengan tajuk  Milikilah Sifat Malu,

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.  Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Pentingnya memiliki sifat malu.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu ‘anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”(HR Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:  Rasulullah saw. bersabda:  “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim No.53)

Anak-anak didiku sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.  Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.  Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.  Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.  Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.  Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.  Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.  Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH subhanahu wata’ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.  Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

Guru Pusat Sumber skmj

ARTIKEL 2: JANGAN TAK……..& JANGAN …….DI FACEBOOK

Assalamualaikum anak-anak didik sekalian, artikel cikgu yang kedua hari ini bertajuk Jangan tak……..& Jangan ……di Facebook.

Memang canggih sungguh Facebook ni.  Jika dimanfaatkan betul-betul, memang agak pasti boleh memberikan kebaikan buat diri sendiri dan rakan-rakan yang berada di dalam rangkaian Facebook itu.  Maksud saya dalam hal:

  • ta’awwanu ‘ala al-birri wa at-taqwa (tolong menolong dalam hal kebaikan & taqwa)
  • amru bil-ma’ruf wa nahyu ‘anil-munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran).
  • tawasau bil-haq wa tawasau bis-sobr (nasihat menasihat dengan kebenaran dan kesabaran)

Platform sudah tersedia, tinggal mahu digunakan sahaja.  Adakah bakal memberi kebaikan atau sia-sia begitu sahaja.  Sayang sekali jika platform tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa digunakan untuk menambah amal kebaikan.

Berikut disenaraikan secara ringkas beberapa perkara yang digalakkan kita melakukan dan juga perkara yang tidak wajar dilakukan:

Jangan tak:

  • malu
  • fikir sebelum berbuat sesuatu
  • ingat bahawa perbuatan kita dicatit, dan akan dipertanggungjawabkan setiapnya
  • tegur-menegur
  • nasihat-menasihat
  • saran buat baik
  • kongsi link/tips/cerita/berita yang baik
  • ajak kepada ma’ruf, cegah kemungkaran
  • awas dengan mudharat yg berpotensi diwujudkan oleh Facebook
  • rekomen perkhidmatan & produk keluaran ummat Islam yang bagus
  • set di privacy setting ikut keperluan anda supaya bukan semua maklumat/gambar anda boleh dilihat/diceroboh
  • dan banyak lagi…sila sambung

Jangan:

  • kutuk-mengutuk
  • fitnah-menfitnah / gossip
  • gedik-menggedik
  • ejek-mengejek
  • upload foto yang menimbulkan fitnah, terutama foto wanita
  • upload foto anda (sekiranya anda wanita), foto adik perempuan anda, isteri anda, anak perempuan anda, rakan perempuan anda atau lain-lain wanita bagi menjaga kehormatan, kemuliaan & maruah mereka.
  • buka aib diri sendiri & orang lain
  • terlalu berkongsi maklumat diri & keluarga
  • bermain dengan kuiz yang boleh merosakkan aqidah dan tidak berfaedah
  • bermain dengan permainan (games) yang hanya membuang masa
  • bebas sangat
  • berlebih-lebihan dalam bergurau
  • berkhayal dengan foto2 rakan Facebook anda
  • memuji diri sendiri, nanti orang menyampah
  • taksub & lalai dengan Facebook
  • terus percaya & sebarkan semua khabaran orang
  • dan banyak lagi….sila sambung.

Sebenarnya nasihat di atas adalah nasihat umum yang patut insan ingat selalu.  Namun, disebabkan oleh insan ini selalu lupa (saya terutamanya), jadi sebab itulah tulisan ini ditulis.  Apatah lagi sekarang ini, Facebook sudah menjadi kegilaan orang ramai.  Dan didapati ada yang agak lalai dan terjatuh dari landasan kemuliaan akhlaq.  Mudah-mudahan tulisan ini bermanfaat.

Akhir sekali, mari kita renung semula perkataan dari Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam hal ini.  Semoga ia dapat mengingatkan kita tatkala kita leka, asyik dan lupa.

“Kalau kamu sudah tidak punya malu lagi, lakukanlah apa yang kamu kehendaki.” (HR. Bukhari)

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berbicara yang baik-baik atau diam.” (HR. Bukhari)

Tahukah kamu apa ghibah itu? Para sahabat menjawab, “Allah dan rasulNya lebih mengetahui.” Beliau bersabda, “Menyebut-nyebut sesuatu tentang saudaramu hal-hal yang dia tidak sukai.”(HR. Muslim)

“Seorang mukmin bukanlah pengumpat, pengutuk, berkata keji atau berkata busuk.” (HR. Bukhari dan Al Hakim)

“Semua umatku diampuni kecuali yang berbuat (keji) terang-terangan yaitu yang melakukannya pada malam hari lalu ditutup-tutupi oleh Allah, tetapi esok paginya dia membeberkan sendiri dengan berkata, “Hai Fulan, tadi malam aku berbuat begini…begini.” Dia membuka tabir yang telah disekat oleh Allah Azza wajalla.”  (Mutafaq’alaih)

Semoga ALLAH Azza wa Jalla memberkati kita semua, amin…

Guru Penyelaras PSS

LATIHAN GAMELAN SKMJ PADA CUTI PERSEKOLAHAN

LATIHAN DIBAWAH BIMBINGAN ENCIK MOHD YUNUS BIN SAPUAN DAN BEKAS MURID SKMJ.

ARTIKEL 1 CUTI SEKOLAH-Privacy Settings’ di Facebook (Supaya Muslimah Terjaga Kehormatannya)

Anak didik sekalian,saya banyak melihat murid-murid sekolah kita berhubung melalui FB malah ada yang menggunakannya tanpa had.Keadaan ini memanggil diri saya untuk berbicara berkaitan dengan isu FB sekarang yang kian menular bukan sahaja di kalangan murid-murid Tahun 6 malahan murid-murid Tahun 1.Tahukah kalian kenapa mendedahkan identiti kalian di dalam FB itu sangat bahaya.Anak didik sekalian apa yang anada lihat di dalam FB
ialah penampilan mereka tatkala dahulu barangkali berbeza dengan penampilan mereka sekarang.  Ada yang masih kekal dalam keadaan dulu dan berhasil tarbiyyahannya, alhamdulillah.  Dan ada juga yang kurang.  Namun, saya percaya asas dan akar agama mereka sudah ada, cuma perlu disuburkan agar terus kekal istiqamah dan dapat menghasilkan buah agama yang bagus kualitinya.

Di Facebook, bermacam-macam aksi kenakalan mereka terdedah apabila mereka mengupload foto-foto malah video-video tentang diri mereka dan rakan-rakan.  Saya tahu tujuan mereka adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan muslimah mereka.  Mungkin mereka lupa atau tidak tahu bahawa apabila mereka mengupload ke Facebook, bukan sahaja rakan-rakan mereka boleh menontonnya, malah orang lain juga akan didorong sama melihatnya. 

Setakat ini, belum ada foto-foto yang mendedahkan aurat atau yang melampau.  Namun, jika mereka terlalai dan lupa, barangkali esok atau lusa, akhirnya nanti akan terdedah juga.  Na’udzubillahi min dzalik.
Artikel kali ini khas saya tujukan buat mereka.  Dengan harapan agar maruah dan kehormatan mereka terjaga tatkala menggunakan Facebook.  Kalau nak ada akaun Facebook, jangan upload gambar video.  Simpan sahaja di dalam komputer sendiri untuk tontotan sendiri, keluarga dan rakan-rakan yang boleh dipercayai.  Dan berhati-hati tatkala menggunakan laman sosial seperti Facebook, Myspace, Twitter, Friendster dan sebagainya. 

Risiko menggunakan internet sebagai tempat bersosial memang ada.  Internet tidak bersempadan.  Justeru, kena sangat berhati-hati.  Di Facebook sebagai contoh telah disediakan supaya bukan semua maklumat diri terdedah kepada umum.  Walaupun privacy settings ini bersifat piawai iaitu kita tidak boleh membuat mengikut kehendak kita yang spesifik, namun sekurang-kurang kita telah berusaha agar maklumat tentang diri tidak terlalu terdedah.

Ingatan khas untuk muslimah gambar diri tidak akan terdedah jika tidak didedahkan oleh diri sendiri atau kenalan.  Berhati-hatilah selalu kerana maklumat dan gambar diri yang terdedah barangkali boleh digunakan oleh orang yang berniat jahat.  Sebaik-baiknya, jangan letak gambar kalian di internet.

Nasihat saya sepanjang cuti sekolah ini gunakan masa dengan cara yang lebih bermanfaat dan bukan duduk mengadap FB sepanjang masa.

Catatan Guru Pusat Sumber SKMJ

SELAMAT BERCUTI MURID-MURID SKMJ

MUSIM cuti sekolah sudah tiba. Anak dan pelajarlah yang gembira, maklumlah selepas penat belajar dan bertungkus-lumus di dalam kelas, sekarang tiba musim merehatkan minda, cuti daripada rutin kelas.Berehat pun bukan sebarang rehat dan cuti tapi hendak ‘recharge’ semula semangat dan motivasi. Tinggalkan sekolah sekejap bukannya benci dan ‘give up’ pada ilmu tetapi setelah bercuti nanti kembali ke sekolah dengan lebih bersemangat dan menyintai ilmu.Ibu bapa mungkin sedang merancang bagaimana memanfaatkan cuti penggal ini, semoga perancangan yang digarap terbaik untuk anak.Sebab anak adalah harta dan aset paling berharga bukan sahaja untuk keluarga malah negara dan Islam tercinta. Sebagai manusia kita sememangnya perlu didisiplinkan dengan sistem.

Buat anak-anak  yang dikasihi ALLAH sekalian, minggu ini maka bermulalah cuti sekolah yang panjang buat kalian.  Ini adalah antara nikmat ALLAH yang diberikan buat kalian untuk menikmati masa lapang setelah  berhempas pulas dengan mujahadah kalian di dalam medan ilmu.

Tetapi ingat, ramai orang yang leka dengan nikmat masa lapang ini.  Justeru, dalam kalian berehat dan berseronok dengan masa lapang yang ALLAH kurniakan ini, janganlah dibiarkan begitu sahaja.

Banyak aktiviti bermanfaat yang kalian boleh lakukan seperti menziarahi sanak-saudara, berbakti kepada ibu bapa, mengulangkaji pelajaran yang lepas, mempersiapkan diri dengan cabaran yang akan datang, mengimarahkan masjid, mentadabbur al-Quran, menonton video-video yang mempunyai nilai ilmu, melakukan rombongan sambil belajar dengan rakan-rakan ke tempat yang menarik dan banyak lagi.

Di dalam portal  ini, ada beberapa artikel yang saya rasa baik untuk ia dibaca oleh kalian sebagai murid-murid sekolah.  Artikel-artikel ini mungkin boleh dimanfaatkan kalian tatkala masa terluang, sebagai alternatif kepada lain-lain aktiviti yang bermanfaat.Jadi luangkanlah masa dengan membaca setiap bahan yang akan cikgu masukkan ke dalam portal ini sepanjang cuti sekolah.Insyaallah.

catatan guru-guru SKMJ